Part 5
Wednesday, 14 December 2011 | 04:49 | 0 comments
Jumaat
Dua minggu telah berlalu, namun bayang Aboy sudah tidak kelihatan lagi. Mana dia menghilang? Sudah bertunangkah dia? Semua persoalan itu aku ketepikan jauh-jauh, rasa bersalah membelenggu diriku.
Telefon kucapai dan menaip sesuatu, lalu menekan butang ‘hantar’ kepada nombor Aboy.
Aboy.. kau sihat? Aku rasa, kau dah pun bertunang kan? Tak kiralah kau nak marah aku ke apa, aku tetap nak ucapkan tahniah. Sekurang-kurangnya, tanpa aku pun ada yang boleh bahagiakan kau. Kau tahu kan yang aku tak pernah cintakan kau? Aku minta maaf. Bukan aku tak cuba, tetapi hati aku yang menolak kehadiran kau. Maafkanlah aku, dan jangan lupa yang kita masih berkawan rapat, Boy. Jangan pernah putuskan persahabatan kita dek cinta kau tak dibalas. Aku percaya, satu hari nanti, pasti kau akan bahagia dengan wanita yang sudah sah menjadi tunangan kau tu. Okay, aku tak nak cakap banyak. Assalamualaikum, Afeeq.
Aboy membaca mesej yang baru diterima sebentar tadi. Hatinya benar-benar hancur, hancur kerana sehingga sekarang Julia langsung tak cintakan dia. Apa salahnya? Sebelum ini dia tidak pernah sakitkan hati gadis itu, malah dia amat menyayanginya. Kenapa ini yang Julia balas? Kenapa?
Telefon yang digenggam erat olehnya, dilemparkan pada dinding. Terbarai telefon itu. Aboy meraup wajahnya yang kemerah-merahan menahan marah. Marah? Sebab apa dia marah? Adakah kerana cinta tak berbalas itu? Tidak! Bukan salah Julia, tidak sama sekali. Aboy beristighfar dan memohon ampun kepada Allah. Ya Allah.. mengapa bukan dia jodohku? Dia gadis yang baik.. katanya perlahan sambil memandang telefonnya yang berkecai di atas lantai itu.
Melihatkan Aboy langsung tidak membalas mesej aku tadi, aku hanya berlagak selamba seperti tidak lakukan apa-apa. Mungkin dia tak mahu diganggu? Entah. Aku dah tak perlu untuk ganggu hidupnya lagi selepas ini rasanya.
Aku bersandar pada katil dengan kaki yang menjulur ke depan. Aku melepaskan satu keluhan yang kuat. Penat sungguh rasanya, berdepan dengan masalah sebegini. Baru sahaja ingin melelapkan mata, tiba-tiba pintu diketuk. Ini tak lain tak bukan, mama lah ni! Kalau sekadar mahu memaksa aku untuk berkahwin, lebih baik tak perlu.
“ Buka jelah pintu tu, tak kunci pun” jawab aku malas.
“ Aboy dekat ruang tamu. Dia nak jumpa Ju,” mama tersenyum. Mukanya berseri tatkala menyebut ‘jumpa’ itu. Aku mendengus dan menurun tangga dengan langkah yang perlahan. Aku tak ada mood nak jumpa sesiapa hari ini. Kenapa mesti jumpa aku, dalam waktu yang tak kena ini?
“ Hi,” sapa Aboy.
“ Waalaikumusalam,” aku menyindirnya. Kemudian, tawaku meletus. Tak tahan melihat wajah Aboy yang sudah kekuning-kuningan.
“ Eleh, kelakar sangatlah tu,” cemuh Aboy. Aku cuba mempamerkan senyuman padanya. Lega rasanya, aku fikir Aboy masih marahkan aku fasal tempoh hari tu. Syukur, keadaan kembali normal.
“ Ju, aku nak ajak kau keluar makan. Sebagai nak tebus kesilapan aku haritu,” ujarnya mendatar. Aku terkedu seketika. Hatiku berbelah bagi.
“ Tak mahulah, nanti aku kena balik sendiri pula sebab kena tinggalkan sorang-sorang kat restoran,” sindir aku lagi. Kali ini, kami sama-sama ketawa.
“ Kali ini aku akan pastikan yang aku hantar kau balik ke rumah okey?” pujuknya lembut. Aku mengangguk tanda setuju. Tapi bukanlah aku seronok sangat dapat keluar makan dengan lelaki di depan aku ini. Cuma.. mungkin cara itu dapat hilangkan rasa kecewanya?
Semasa berada di dalam kereta, Aboy sesekali mencuri pandang wajahku. Bukan aku tidak perasan, tapi aku hanya berlagak macam mata dia tu pandang tempat lain. Biarlah, yang pasti, aku tidak ada hati langsung dengan lelaki di sebelahku kini.
“ Tunang kau sihat?” soalku perlahan, memecah keheningan.
“ Aku.. tak jadi tunang,” lambat-lambat Aboy menjawab. Tersentak aku sebaik mendengar jawapan Aboy.
“ Kenapa tak jadi?” aku bertanya dengan nada yang sedikit tinggi. Terkejut. Ya, memang aku terkejut.
“ Aku masih tunggu kau, aku fikir kau dah mula sayang aku sejak kejadian tempoh hari,” ujarnya mendatar. Aku menepuk dahi aku. Lama aku membiarkan tangan aku berada di dahi. Letih! Rupa-rupanya, dia masih belum berputus asa untuk memiliki aku.
“ Kau takkan tak faham yang aku tak pernah cintakan kau?” aku berkata sedikit keras.
“ Kau nak aku buat macam mana lagi, Ju? Untuk lupakan kau, bukan mudah! 5 tahun aku mengharapkan cinta kau pada aku. 5 tahun! Bukan 5 hari atau 5 bulan, Ju.. aku sedar aku lelaki yang lemah, tapi apa salahnya kalau aku lemah kepada wanita yang sangat aku cintai?” aku tergamam. Lidahku kelu tanpa satu pun perkataan.
“ Tolong.. terima aku sebagai teman lelaki kau, aku janji akan bahagiakan kau Ju.” Ujarnya lagi. Kali ini, dilembutkan sedikit suaranya, seakan memujuk aku. Aku memejamkan mata, dan cuba mencari ketenangan. Akhirnya, kereta Aboy berhenti di sebuah restoran makanan laut.
“ Nanti sajalah,” jawabku malas dan terus membuka pintu lalu meninggalkan Aboy yang masih menunggu jawapan aku.
“ Kau nak makan apa?” tanya Aboy lembut.
“ Bagi saya sotong masak sambal dengan sup seafood, dan nasi.” Aku tidak menjawab pertanyaan Aboy, cuba mengelak daripada bertembung matanya.
“ Kalau kau tak mahu aku pun, tak apalah Ju.. aku putus asa,” Aboy berkata dengan perlahan, antara dengar atau tidak. Mukanya tunduk memandang meja. Aku yang sejak tadi memandang ke luar pemandangan di tepi laut itu segera menoleh ke arahnya.
“ Aku sedar, kalau aku makin sayangkan kau, makin menjerut diri aku sendiri. Sayangnya, hati gadis yang baik macam kau ni, tak dapat aku miliki..” Aboy mengelap air matanya yang hampir gugur itu, dalam keadaan tertunduk.
Rasa bersalah mula menyelubungi diri. Benarkah Aboy tulus mencintaiku? Atau, aku terlalu kejam kerana tidak memberi peluang langsung padanya?
“ Aboy..”
“ Cukup, Ju.. aku tak nak dengar penjelasan kau, aku takut.. takut yang kau tetap dengan keputusan kau, lebih baik aku berundur..” ujarnya dengan nada yang sebak.
Aku mencari tisu di dalam beg aku, dan menghulurkan kepada Aboy. Aboy menyambutnya dengan tangan yang menggeletar. Aku tak sanggup lihat kawan baik aku jadi begini disebabkan aku, tidak..
“ Aboy...”
“ Jangan bercakap apa-apa, Ju.. aku tahu kata-kata kau bakal sakitkan hati aku..” potong Aboy lagi. Kali ini, aku dah tak tahan. Aku mesti beritahunya juga!
“ Bukanlah! Sejak bila pulak aku nak cakap keputusan aku? Ni, aku nak cakap. Buat apa kau menangis bersungguh-sungguh ni? Ei, semua pandang kau tau tak! Buat malu betul, eeeeeee~ lagi satu, hingus kau.. meleleh..” aku berkata antara serius dengan hampir tergelak. Merah padam wajah Aboy menahan malu. Akhirnya, aku ketawa juga. Pelanggan yang berada di situ memerhati kami berdua. Mereka hairan, mengapa yang gadisnya ketawa berdekah-dekah, manakala yang lelakinya pula menangis tersedu-sedu? Pelik anak muda sekarang..
“ Dah dah lah tu, jom kita makan!” pelawa aku dengan ceria. Ceria yang ikhlas, dan cuba memujuk lelaki di hadapanku ini.
“ Kau makanlah, aku tak ada mood!” Aboy protes. Masih merajuk.
“ Okay,” Aku mengangkat bahu sambil mencebik lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutku. Lantak kau la Boy, dah pelawa kira bagus lah tu. Rezeki jangan ditolak, kataku dalam hati.
Aboy yang melihat aku makan dengan berselera, menelan air liur berkali-kali. Panas betul hatinya. Cet! Tak guna punya kawan, bukan nak pujuk aku ke apa, makin menyakitkan hati aku lagi adalah! Desis hatinya. Lalu tangannya mencapai senduk sup seafood yang aku pesan tadi, lalu dicedok ke dalam sebuah mangkuk kecil. Aku hanya memandangnya, berusaha menahan tawa.
“ Eh, tadi aku dengar ada orang tu tak ada mood?” aku bertanya, masih menahan ketawa yang akan terburai bila-bila masa sahaja.
“ Senyaplah!” Aboy mencebik dan terus sahaja menyuapkan nasi ke dalam mulut tanpa hiraukan aku yang sudah pun ketawa terbahak-bahak. Even kau ni suka perli aku, aku tetap sayang kau.. hatinya berkata dalam diam.
“ Kenyangnya!” aku mengusap perutku yang sudah buncit, gara-gara makan dengan banyak tadi. Aboy yang memandu di sebelah hanya senyap membisu. Masih marahkah dia?
“ Aboy, jom singgah dekat laut tadi?” ujarku lagi.
“ Nak buat apa?”
“ Saja, lepak.. kalau kau tak nak, tak apa.. hantar aku balik jelah,” aku tidak berkecil hati pun. Langsung tidak. Lagipun sudah malam, tak elok pula kalau orang pandang.
“ Jom lah..” katanya lemah.
Setibanya di tepi laut itu, aku mengambil pasir dan melemparnya ke dasar laut. Dah lama aku tak pergi laut, seronok pula dapat lempar-lempar pasir. Aboy hanya jadi pemerhati.
“ Aboy, jomlah lepak kat situ.” Aku menunjuk ke arah sebuah pondok di tepi pantai itu. Aboy menggeleng.
“ Dah malam ni, jom aku hantar kau balik..” dia terus menuju ke kereta. Tangan aku yang ligat melempar pasir ke dalam laut, terus berhenti. Aku memandangnya kosong, lalu berlari mengejar Aboy.
“ Dah sampai,” mendatar sahaja suara Aboy.
“ Okey. Bye,” aku berkata tanpa memandang ke arahnya.
BERSAMBUNG
The Author



